Hassan Abdul Karim

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan suntikan dana RM1.1 bilion terhadap Sapura Energy Bhd adalah satu bentuk bail out tetapi Kerajaan Madani menggunakan istilah pelaburan strategik.

Menurut beliau, langkah tersebut ‘sama’ seperti diakukan kerajaan sebelum ini cuma istilahnya ditukar atau berbeza tetapi maksud sebenarnya adalah serupa sekali gus menyembunyikan hakikat sebenarnya iaitu bail out.

“Menurut Cambridge Dictionary perkataan bail out itu bermakna The process of saving a company, plan, or other thing from failing  by providing a lot of money.

“Ringkasnya dalam Bahasa Melayu kita bail out itu bermakna ‘menyelamatkan’. Kerajaan keluarkan sejumlah wang yang banyak iaitu RM1.1bilion untuk selamatkan Syarikat Sapura Energy. Itu bail out lah namanya,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, media melaporkan kerajaan menafikan dakwaan bahawa suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) merupakan satu bentuk bailout bagi menyelamatkan syarikat berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dana tersebut adalah pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam bentuk saham boleh ditukar, bukan bantuan kewangan tanpa pulangan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkataan bail out atau menyelamatkan syarikat dengan suntikan wang rakyat adalah istilah yang sering digunakan sejak era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, ketika itu kerajaan turut menyuntik dana besar untuk menyelamatkan beberapa syarikat besar seperti Perwaja, Bank Bumiputera, dan Malaysia Airlines (MAS), namun semua usaha tersebut berakhir dengan kegagalan.

“Pada zaman Dr Mahathir, kerajaan memberi alasan kepentingan nasional dan hujah berbaur kaum untuk melaksanakan bail out, dengan tujuan menyelamatkan syarikat-syarikat besar yang dianggap penting bagi negara.

“Begitu juga dengan tindakan kerajaan yang kini memberikan dana kepada Sapura Energy, yang dikatakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah syarikat Bumiputera,” katanya.

Hassan mendakwa, alasan yang diberikan kerajaan untuk tidak membiarkan Sapura Energy gagal adalah hampir sama dengan hujah yang digunakan semasa era Dr. Mahathir.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fahmi Fadzil masing-masing berhujah bahawa jika kerajaan tidak menyelamatkan Sapura Energy, Malaysia terpaksa bergantung kepada syarikat perkhidmatan asing dan akan dianggap mengkhianati orang Melayu,” ujarnya.

Beliau mengingatkan bahawa walaupun nama istilah berubah, tujuan yang sama masih diteruskan untuk menyelamatkan syarikat dengan wang rakyat.

Hassan menegaskan, kerajaan perlu bertindak lebih telus dan berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti yang berlaku pada masa lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast