Penghasilan Biskut Kelapa di bengkel pembuatan makanan KRT Chenderawasih, Kuantan

KUANTAN – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Begitu ungkapan peribahasa paling sesuai menggambarkan sekumpulan ibu tunggal yang mengusahakan tempahan kudapan tradisional secara beramai-ramai di Kampung Chenderawasih, di sini, sebagai pendapatan tambahan untuk menyara keluarga mereka.

Menurut Naslina Hubitar, 46, peluang menyiapkan tempahan kuih merupakan pendapatan tambahan buatnya bagi membantu dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti bersama tiga orang anak yang berusia 10 hingga 15 tahun.

Naslina Hubitar

“Saya bersama dengan kolaborasi ini sejak lima tahun lalu. Saya pun ada perniagaan sendiri iaitu buat dan jual jamu homemade iaitu ‘Jamuda’. Dah dua tahun.

“Tapi, semua ini saya buat untuk menambah pendapatan untuk membesarkan anak-anak dan sebagai persediaan untuk sambutan hari raya nanti. Sebab saya ibu tunggal,” katanya.

Begitu juga dengan Afzan Abd Malik, 51 yang mempunyai perniagaan menjual pastri ‘pie tee’ sejak 2010.

Kata ibu tunggal kepada enam orang anak itu, jadual hariannya kini dipenuhi dengan mencari pendapatan tambahan membuat kuih di bengkel pembuatan makanan ini bersama rakan-rakannya.

Afzan Abd Malik

“Saya mula menyertai kumpulan ini sejak setahun lepas untuk cari peluang, cari duit lebih untuk anak belajar. Yang paling utama sekarang ni ialah duit lebih untuk Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Ini raya kedua dengan kawan-kawan di sini. Musim perayaan ni memang jadual ketat sebab bayak tempahan, sama ada hamper raya dan tempahan orang ramai,” jelasnya.

Dia yang kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga berkata, anak-anak memberikan kerjasama dan sokongan termasuk turut membantunya menjalankan perniagaan dari rumah.

Sementara itu, Maizatul Akmar Rizah Mazlan, 53 yang mengetuai kumpulan itu berkata, tempahan kuih diterima mereka tidak hanya tertumpu kepada musim perayaan sahaja.

Sebaliknya, dia yang mesra disapa Kak Zah memberitahu, beliau sering menerima undangan untuk menjual aneka kuih itu dalam program-program anjuran kerajaan atau di reruai pameran yang disediakan.

Maizatul Akmar Rizah Mazlan

“Di sini kita bukan menghasilkan kuih raya, tapi kudapan sihat yang sentiasa dimakan. Contohnya, kuih tanpa tepung gandum, tanpa gula putih dan tanpa perisa dan perasa.

“Kak Zah letakkan diri sendiri dalam situasi mereka. Selain memanjangkan peluang untuk tambah pendapatan, Kak Zah seronok apabila bersama mereka yang mahu turut sama berusaha.

“Itu yang berikan Kak Zah kekuatan untuk meneruskan usaha ini. Keadaan kita ni bukan untuk ditangis bukan untuk diratap, tapi untuk kita bangkit dan kita ubah. Tak semua ibu tunggal itu gagal. Kita semua ada kekurangan, ada kelebihan masing-masing,” katanya.

Berikutan itu, katanya dia nekad untuk menyediakan pusat sehenti setempat berbentuk bengkel pembuatan makanan khusus untuk kaum ibu tunggal senasib dengannya termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) di tapak KRT Chenderawasih, di sini sejak tahun 2010.

Maizatul Akmar Rizah Mazlan bersama rakan-rakan mengusahakan kuih kudapan sebagai pendapatan tambahan.

Difahamkan hampir 10 orang ibu tunggal yang turut bersama-sama Kak Zah menyertai usaha yang dijalankannya itu.

Tinjauan MalaysiaGazette mendaati lebih daripada lima jenis kuih tradisional yang dihasilkan kumpulan ini, antaranya Biskut Kelapa, Biskut Kacang, Maruku, Biskut Bangkit selain Biskut Cereal Biscoff dan Biskut Cereal Oreo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast