Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan doktor berhak di sisi undang-undang untuk memberikan Ivermectin kepada pesakit mereka.

Penaungnya, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, keputusan itu lebih daripada sekadar Ivermectin kerana ia melindungi integriti amalan perubatan serta hak pesakit.

Ujar beliau, keputusan tersebut menandakan kemenangan monumental untuk autonomi perubatan dan pilihan pesakit.

“Ia mengesahkan keupayaan doktor membuat keputusan rawatan profesional tanpa rasa takut terhadap pendakwaan.

“Doktor berada di barisan hadapan penjagaan kesihatan. Mereka tidak sepatutnya perlu memilih antara mengikuti kepakaran perubatan mereka dan takut akibat undang-undang,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa doktor berhak di sisi undang-undang untuk memberikan Ivermectin kepada pesakit.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan kerajaan untuk menjawab lima persoalan undang-undang yang dikemukakan kerana dianggap tiada kaitan dengan fakta kes.

Rayuan itu tertumpu pada tafsiran peruntukan tertentu dalam Akta Racun 1952 dan peraturan-peraturannya, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sementara itu, Presiden MAAFIM, Dr. Paramjit Kaur berkata, keputusan mahkamah tertinggi negara menjadi detik penentu bagi autonomi perubatan di Malaysia.

Ujar beliau, perkembangan itu memastikan bahawa doktor boleh mengamalkan perubatan berdasarkan sains, etika dan kepakaran profesional mereka berbanding tekanan luaran.

“Penjagaan berpusatkan pesakit dengan persetujuan adalah asas kepada profesion kami, dan keputusan ini melindungi keupayaan kami untuk melayani pesakit dengan integriti dan belas kasihan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, panel bersidang mendapati Akta Racun ialah kanun lengkap yang mentadbir semua perkara berkaitan racun, seperti yang digariskan dalam mukadimahnya.

Katanya, Akta Racun digubal dengan niat yang jelas untuk mengawal selia dan menyelia semua urusan melibatkan racun, termasuk penjualan dan pembekalannya.

Pada 25 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pengamal perubatan berdaftar dibenar memberikan Ivermectin kepada pesakit untuk rawatan, dengan syarat mereka mematuhi Seksyen 19 Akta Racun dan peraturannya.

Rayuan kerajaan itu susulan saman pemula yang difailkan oleh Dr S. Vijaendran yang juga Presiden MAAFIM dan Dr. Che Amir Farid Che Isahak.

Kes ini timbul selepas pegawai KKM menyerbu klinik Che Amir di Ampang pada 2021, ketika kemuncak wabak Covid-19, berikutan laporan dua pesakit didakwa mengalami keracunan akut dan kesukaran bernafas.

Pegawai KKM merampas Ivermectin yang ditemukan di klinik itu, dengan alasan ia bukan produk berdaftar.

Mereka juga mendakwa, doktor itu tidak dibenarkan secara sah untuk menjual atau memberikan ubat tersebut.

Che Amir kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret kerana menjual serta mendispens dadah itu.

Maafim dan Che Amir memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 September 2021, memohon tafsiran peruntukan tertentu dalam Akta Racun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here