JAWI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar sindiket penyimpanan dan pemindahan minyak masak bersubsidi secara haram dalam serbuan di sini, kelmarin.
Serbuan jam 8.30 malam yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN itu turut membawa kepada rampasan RM129,869.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan itu adalah hasil risikan ke atas sebuah lori yang mencurigakan sebelum membawa kepada penemuan sebuah stor tidak berlesen yang digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi.
Jelas beliau, ketika serbuan seramai enam lelaki tempatan sedang memotong paket minyak masak sebelum memindahkan cecair tersebut ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC).

“Pemilik premis gagal mengemukakan dokumen lesen atau permit bagi memiliki dan menguruskan barang kawalan berjadual seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Susulan itu, pemeriksaan lanjut menemui 2,300 kilogram (kg) minyak masak paket dalam bungkusan asal, serta plastik kosong yang telah dipotong.
“Selain itu, minyak masak bersubsidi ditemui di dalam tangki IBC dan 750 kg lagi dalam tong drum plastik biru serta 11 unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter serta lima tong drum plastik biru turut ditemui di premis tersebut,” katanya hari ini.
Turut dirampas 12,000 kg minyak masak di dalam lori. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM129,869.
Tambah Jegan, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974. – MalaysiaGazette