KLUANG – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak tiga hari lalu terjawab apabila ditemui maut dengan lehernya terjerut tali dan tergantung dalam sebuah kebun kelapa sawit di Machap di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penemuan mayat lelaki berusia sekitar 20 tahun itu dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 4.10 petang.
“Pihak polis dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan telah keluar dari rumahnya kira-kira pukul 3 petang pada 10 Mac lalu.
“Hasil siasatan di lokasi penemuan mayat itu tidak terdapat unsur-unsur jenayah berlaku dan kematian di klasifikasi sebagai Mati Mengejut (SDR).
“Pengesahan kematian telah dilakukan oleh Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Bahrin lagi, mayat kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan berhubung kematian lelaki berkenaan masih diteruskan. – MalaysiaGazette