Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan berhubung suntikan dana berjumlah RM1.1 bilion yang diberikan kepada Sapura Energy Berhad (SEB).

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berkata, ini kerana isu berkenaan melibatkan wang rakyat yang merupakan hasil titik peluh pembayar cukai dan disebabkan itu kerajaan tidak seharusnya memberi alasan mudah bagi mengelakkan tanggungjawab serta menutup kebenaran.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, apabila menyatakan bahawa suntikan dana itu adalah pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurut Dominic, perkara itu telah mengundang persoalan besar kerana dana tersebut yang pada awalnya dianggap sebagai pelaburan kini, telah ditukar statusnya menjadi pinjaman.

“Bagaimana dalam satu malam, ia boleh berubah daripada pelaburan menjadi pinjaman?

“Ini menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat yang berhak untuk mengetahui, apakah terdapat sebarang unsur yang mencurigakan dalam transaksi ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau turut menuntut agar Kerajaan Perpaduan, terutamanya Kementerian Kewangan, memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai syarat-syarat “istimewa” yang disertakan dalam pelaburan kerajaan itu.

Katanya, ia termasuk jangka masa pembayaran balik dan sebarang terma lain yang berkaitan.

Beliau turut mempersoalkan, sama ada pinjaman tersebut melibatkan faedah dan apakah akan berlaku sekiranya Sapura Energy tidak memperoleh keuntungan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Jika Kerajaan Madani mengutamakan prinsip ketelusan, maka segala syarat pelaburan ini tidak seharusnya dirahsiakan.

“Rakyat berhak mengetahui apakah risiko yang terlibat dalam pelaburan ini dan bagaimana dana tersebut akan dipulangkan, sama ada melalui keuntungan atau sebaliknya,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Dominic turut menyentuh mengenai pendirian Anwar yang juga Menteri Kewangan yang sering berubah-ubah, hingga mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau merujuk kenyataan Anwar sebelum ini mengenai pembiayaan lawatan rasmi ke luar negara yang dikatakan dibiayai oleh syarikat swasta, namun kemudian ditarik balik tanpa penjelasan.

“Bagaimana rakyat boleh mempercayai beliau apabila kenyataan dan pendiriannya sentiasa berubah?

“Ini memberi kesan terhadap kepercayaan orang ramai terhadap ketelusan dan kejujuran pentadbiran kerajaan,” tegasnya.

Dominic turut membangkitkan kenyataan Fahmi apabila mendakwa suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion itu adalah dalam bentuk bon boleh tebus dan boleh tukar, yang membolehkan dana tersebut ditebus atau ditukar kepada pegangan saham.

Beliau mempersoalkan, sama ada wang tersebut diberikan oleh kerajaan atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta apakah ia merupakan pinjaman atau bentuk pelaburan yang lain.

“Adakah ini benar-benar pelaburan kerajaan atau ia hanya satu pinjaman yang membebankan rakyat di masa depan?

“Ini perlu dijelaskan tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Dalam pada itu, Dominic turut menuntut Perdana Menteri, mendedahkan laporan audit forensik yang disediakan oleh firma perakaunan antarabangsa, Ernst & Young (EY).

Ujarnya, rakyat berhak mengetahui isi kandungan laporan tersebut, terutamanya penemuan yang mendorong kerajaan untuk campur tangan dalam menyelamatkan syarikat tersebut.

“Jangan cuba memesongkan fokus. Berikan penjelasan yang jelas kepada rakyat tanpa sebarang helah politik. Rakyat berhak tahu bagaimana dan mengapa keputusan ini dibuat.

“Jangan pula menuduh mereka yang bertanya sebagai tidak menyokong usaha kerajaan membantu syarikat Bumiputera,” katanya.

Isu suntikan dana ini terus menjadi tumpuan hangat dalam kalangan rakyat dan pembangkang, yang mendesak kerajaan memberi penjelasan penuh dan terbuka mengenai keputusan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here