FITNAH berkenaan pemberian kerakyatan kepada warga China yang kembali tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi menafikan dakwaan bahawa beliau meluluskan kewarganegaraan rakyat China yang kembali tular dalam media sosial.

Tegasnya, kenyataan itu adalah fitnah dan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah lagi kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama.

Ujarnya, sepanjang tahun lepas, beliau telah banyak memberikan penjelasan tentang isu kewarganegaraan itu, namun masih ada pihak yang membuat fitnah dengan permainan sentimen yang berbaur 3R (agama, raja dan kaum).

“Perbuatan yang tidak bertanggujawab ini sangat bahaya, ianya mampu mengganggu gugat keselamatan dan keamanan rakyat di dalam negara.

“Saya menggesa agar rakyat dan netizen mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan tepat, sahkan dahulu sebelum ianya dikongsi.

“Saya ingatkan juga bahawa menularkan fitnah dan berita palsu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, dalam catatan sama, Saifuddin Nasuiton turut berkongsi pautan penjelasan beliau sebelum ini berhubung isu pemberian kewarganegaraan tersebut supaya pengguna media sosial mendapat penjelasan yang betul dan tepat mengenai isu terbabit.

Penjelasan itu berdasarkan jawapan beliau di Dewan Rakyat pada November tahun lalu yang turut menjawab berkenaan fitnah kononnya seramai 1.2 juta pelancong China yang masuk ke Malaysia tidak keluar dari negara ini.

Sedangkan, ujar beliau, setakat November lalu, rakyat China yang memegang pas lawatan sosial dan belum keluar adalah seramai 84,817 orang daripada sejumlah 8,491,653 orang yang telah masuk ke negara ini sejak Januari 2018.

“Perkara ini dibangkitkan di Parlimen sekitar tahun 2022 dan Menteri Dalam Negeri ketika itu, iaitu YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin yang kini Ahli Parlimen Larut telah mengeluarkan kenyataan media bahawa ianya tidak betul.

“Saya berharap agar fitnah mengenai 1.2 juta pelancong China yang tidak keluar ini dihentikan. Isu ini memainkan sentimen 3R yang tidak patut berlaku dan boleh mengganggu gugat keselamatan dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here