ISKANDAR PUTERI- Tersalah masuk laluan ketika memandu di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) punca seorang lelaki warga emas memandu Proton Saga secara melawan arus sebelum videonya tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pemandu berusia 85 tahun itu telah dikesan dan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.
“Sebelum itu semalam, tular dua rakaman video berdurasi 29 dan 26 saat yang dimuat naik di Facebook, memaparkan sebuah Proton Saga FL berwarna coklat dipandu secara melawan arus di Kilometer 14.3 (arah utara) lebuh raya tersebut.
“Hasil siasatan mendapati lelaki berusia emas itu tersilap memasuki laluan semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampoi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, selepas tersalah masuk laluan, warga emas berkenaan cuba mencari jalan keluar, namun kehabisan minyak ketika dalam perjalanan ke Mutiara Rini.
“Dia kemudian dibantu oleh orang awam dan pulang ke rumah menggunakan perkhidmatan e-hailing,” tambahnya.
Polis katanya, menyiasat kes berkenaan bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pejabat Pertanyaan BSPTD Iskandar Puteri menerusi talian 07-5101322. – MalaysiaGazette