KUALA LUMPUR – Seramai 250 golongan gelandangan di Chow Kit menerima bantuan makanan pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Attana Hotels & Resorts (Attana) di ibu kota hari ini.
Program itu sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Attana bersama lima hotel terkemuka di bawah naungannya sempena Ramadan yang mulia.
Pengurus Besar Attana Hotel dan Resort Sdn. Bhd., Mohd. Iqmal Muslim berkata, sumbangan itu melibatkan makanan dan kit barangan kering kepada golongan gelandangan serta individu kurang bernasib baik di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban mereka yang memerlukan serta memperkukuh komitmen Attana terhadap tanggungjawab sosial.
“Di Attana, kami percaya pada kekuatan memberi kembali kepada masyarakat dan komitmen syarikat terhadap inisiatif berteraskan komuniti mencerminkan dedikasi kami untuk membawa perubahan bermakna.
“Kami berharap inisiatif hari ini dapat menggalakkan tindakan kolektif dan menginspirasi lebih banyak organisasi untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Program itu turut disokong oleh Keluarga Nilam (Kumpulan Bebas) melalui sumbangan kewangan manakala PERTIWI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan bantuan serta panduan logistik bagi memastikan kelancaran program.
Selain itu, Attana dan Nilam turut menganjurkan majlis berbuka puasa khas bersama anak-anak dari Rumah Perlindungan Qaseh, Taman Melawati dan Akademi Sains dan Tahfiz Al-Quran Sains Wangsa Melawati di Perdana KLCC.
Mengulas lanjut, Mohd, Iqmal memberitahu, Attana kekal teguh dalam misi untuk menyokong dan memperkasakan masyarakat khususnya mereka yang memerlukan.
Melalui usaha CSR yang berterusan serta kerjasama yang bermakna, syarikat berhasrat untuk memberikan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat.
“Melalui inisiatif seperti ini, Attana terus menegaskan peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, memupuk nilai kasih sayang, perpaduan dan semangat sebenar Ramadan.
Attana kini memiliki dan mengendalikan beberapa hartanah di seluruh Malaysia termasuk Perdana Kuala Lumpur City Centre, Perdana Kota Bharu, Espira Kinrara, Villea Morib, Villea Port Dickson, Villea Rompin Resort & Golf dan Kota Seriemas Golf & Country Club. – MalaysiaGazette
