KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya memintas sebuah bot kargo tempatan yang disyaki cuba menyeludup keluar barangan bersubsidi tanpa dokumen sah di perairan Tawau, Sabah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan dalam Ops Khas Pagar Laut 1/2025 telah menahan bot kargo itu pada jam 10.40 malam ketika ia bergerak laju keluar dari perairan Batu Tiga, Tawau menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 680 pek minyak masak dan 28 tong gas LPG berisi tanpa dokumen kebenaran.
“Juragan bot, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun, juga tidak mempunyai daftar nama dalam lesen bot,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bot bersama muatan serta juragan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Keseluruhan rampasan, termasuk bot kargo dan enjin, dianggarkan bernilai RM50,000.
Shahrizan juga tidak menolak kemungkinan bahawa cubaan penyeludupan ini bertujuan menjual barangan bersubsidi ke pasaran luar sempena musim perayaan.
Pihaknya juga kini sedang giat menyiasat dalang di sebalik kegiatan ini.
Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan rondaan lebih kerap di kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyeludupan.
“Maritim Malaysia memandang serius jenayah rentas sempadan dan aset rondaan sentiasa bersiap sedia untuk bertindak pada bila-bila masa,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau kecemasan 999. – MalaysiaGazette