KUANTAN – Trend berbuka puasa beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan diteruskan sehingga hari ini.
Jika dahulu ribuan pengunjung memilih tikar sebagai alas tempat duduk di atas padang ketika berbuka puasa, namun kini penggunaan kerusi healing juga menjadi pilihan kepada pengunjung.
Nur Halimatun Ahmadtis, 28, berkongsikan pengalaman kali kedua berbuka di Padang MBK 1 berkata, berbuka puasa di atas tikar sebelum ini juga meriah.
”Tahun lepas sudah merasa berbuka puasa atas tikar, jadi tahun ini mencuba berbuka dengan kerusi healing pula.
”Kalau duduk atas tikar seronok juga bila berbuka dengan bilangan yang ramai, tapi kalau dua-tiga orang saya rasa guna kerusi healing lagi sesuai, boleh berbual dengan lebih privacy,” katanya.

Manakala bagi Wan Nurhanisa Khalisa, 28, berkata, pengalaman kali pertama berbuka di padang di atas kerusi perkemahan yang dibawa sendiri itu mencipta sedikit kelainan.
Ujar gadis berusia 28 tahun itu, aktiviti berbuka puasa bersama kenalannya merupakan pengalaman berharga meskipun sudah menetap lama di daerah ini.
”Bila duduk atas kerusi ini lebih selesa sikit sambil memperhatikan ragam mereka yang berkunjung di sini.
”Seronok juga berbuka puasa atas kerusi di padang, macam berkhemah dan rasa lebih selesa duduk atas kerusi berbanding bersila,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Nur Izah Razali, 30, pula berpendapat kemeriahan berbuka puasa secara beramai-ramai di lokasi tumpuan di bandaraya ini setiap kali Ramadan perlu dirasai lebih-lebih lagi kini sudah ada sewaan kerusi selain daripada tikar.
Bagi Farah Umairah Amir Samsudin,24, yang menjalankan perkhidmatan sewaan tikar dan kerusi perkhemahan berkata, permintaan sewaan kerusi bermula pada Ramadan tahun ini.
Kerusi disewa pada harga RM5 sebuah dan pihaknya menyediakan 30 buah kerusi untuk disewakan bersama meja kopi.
”Satu fasa baharu bila kami cuba berniaga kerusi ’healing’ pula, alhamdulillah dapat sambutan. Bagaimanapun perniagaan sewaan tikar berjalan seperti biasa dan masih mendapat tempat.
”Sewa asing bagi meja ialah RM10, tapi kalau sewa dengan kami empat buah kerusi sekali gus kami beri sewa percuma meja,” katanya. – MalaysiaGazette