JOHOR BAHRU – Seorang guru wanita berputih mata selepas rugi lebih RM80,524 akibat diperdaya dalam skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 34 tahun ditipu lelaki yang baharu dikenali melalui laman web Baitul Muslim sebelum dipelawa untuk membuat pelaburan mata wang kripto.
“Mangsa yang terperdaya dengan kata-kata lelaki itu telah membuat sembilan transaksi berjumlah RM110,510 ke beberapa akaun bank antara 10 hingga 13 Mac lalu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM29,985.85 sebelum menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan.
“Semakan melalui aplikasi Semak Mule CCID mendapati salah satu akaun yang digunakan mempunyai dua rekod berkaitan kes penipuan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan, Raub berkata, seorang juruukur ditipu dalam urusan pelaburan atas talian yang tidak wujud melibatkan kerugian RM21,500.
Menurut beliau, mangsa berusia 58 tahun itu termakan pujukan pegawai khidmat pelanggan bagi pelaburan saham di media sosial yang menjanjikan keuntungan sehingga 50 peratus dalam masa singkat.
“Mangsa telah berhubung dengan seorang pengurus akaun dikenali sebagai Ellie bagi pendaftaran akaun aplikasi Silegax Exchange.
“Juruukur itu mempercayai pelaburan saham tersebut dan telah membuat enam transaksi pembayaran kepada empat akaun bank berlainan antara Disember hingga Isnin lalu berjumlah RM21,500,” ujarnya.
Katanya, mangsa merasa tertipu kerana masih tidak menerima keuntungan daripada pelaburan itu dan suspek masih meminta mangsa supaya membuat bayaran tambahan untuk membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan.
Menurutnya, hasil semakan semak Mule CCID mendapati dua akaun bank yang digunakan dalam transaksi ini mempunyai 11 rekod penipuan terdahulu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan individu yang menawarkan skim pelaburan mencurigakan, terutama yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.
“Polis Johor ingin menegaskan penipuan pelaburan atas talian semakin berleluasa dan boleh menimpa sesiapa sahaja termasuk golongan profesional seperti guru, doktor atau pegawai kerajaan.- MalaysiaGazette