KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius sikap segelintir individu yang menggunakan nama ‘Melayu’ dan ‘Bumiputera’ bagi mengumpul kekayaan untuk kepentingan peribadi.
Beliau menegaskan, bukan sedikit dana Bumiputera ‘lebur’ kerana tatakelola yang hancur dan tidak diurus dengan baik.
Menurut Perdana Menteri, sikap berselindung di sebalik nama Melayu dan ‘Bumiputera’ akan digempur secara habis-habis kerana ia jelas satu pengkhianatan terhadap amanah.
Ujar Anwar, pengkhianatan itu menyebabkan banyak dana yang dikhususkan untuk komuniti tertentu, lebur begitu sahaja.
“Berapa banyak dana Bumiputera yang `lebur’ kerana tatakelola. Dalam dunia persaingan yang semakin mencabar, kita tidak boleh lembik, lembab dan korup,” ujar beliau.
Perdana Menteri berucap ketika merasmikan Majlis Peluncuran Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) Madani sempena sambutan Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mahukan MARA bersikap lebih proaktif ketika berhadapan dengan sentimen yang melemahkan semangat bangsa Melayu dan Bumiputera.
“Saya bicara dari hati, tiada sebab untuk kita kalah atau dinafikan hak kerana warna kulit. Saya mahu ruang diberi kepada semua Bumiputera.
“Dengan membina akar umbi, pasukan kecil akan menjadi kekuatan. Namapun MARA, mana mungkin kebelakang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette