Anggota penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan selepas menyerbu sebuah premis di Parit Yaani, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Batu Pahat membongkar kegiatan sebuah syarikat menyimpan diesel secara haram selepas menyerbu sebuah premis di Parit Yaani, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan menerusi Ops Pantau 2025-Bekalan itu dijalankan pukul 2 petang dan menemukan tiga tangki mengandungi 16,500 liter diesel yang dipercayai digunakan untuk mesin jentera berat.

“Pemeriksaan mendapati syarikat terbabit gagal mengemukakan dokumen yang sah termasuk lesen dan permit untuk memiliki serta menyimpan bahan kawalan berkenaan.

“Siasatan mendapati permit penyimpanan minyak diesel syarikat itu sudah tamat tempoh sejak empat tahun lalu dan ada unsur pemalsuan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Pihaknya kemudian menyita semua diesel yang dianggarkan bernilai RM50,000 itu dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang dipercayai pengarah syarikat akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Pada masa sama, Lilis menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam membanteras penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.

“KPDN Johor juga mengalu-alukan aduan awam dan menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram seperti ini,” katanya.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang penyelewengan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan [email protected], Pusat Panggilan 1-800-886-800, atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here