KUANTAN – Sebanyak 36,292.2 kilogram (kg) lebihan makanan diselamatkan daripada terbuang di bazar Ramadan di seluruh negara menerusi program MySaveFood.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12,691.16 kg diselamatkan oleh penuntut daripada 68 institut pengajian tinggi awam dan swasta.
”KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) telah bekerjasama dengan platform ReMeal pada tahun ini bagi mengetahui data berkaitan makanan yang berjaya diselamatkan daripada terbuang di bazar Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa sesi turun padang ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat Zon Timur, di sini, petang semalam.
Menurut Fuziah, inisiatif itu diambil oleh pihaknya sebagai salah satu tambah nilai dalam usaha mengelakkan pembaziran makanan yang tidak terjual.
Tambah beliau, menerusi aplikasi ReMeal pengguna boleh mendapat maklumat berapa banyak makanan berjaya diselamatkan selain mengetahui di mana lokasi bazar Ramadan terlibat.
“Menariknya Platform ReMeal turut menawarkan kembali makanan tersebut untuk dibeli pada harga diskaun yang banyak,” ujarnya.
Sementara itu, Fuziah berkata, lebih 90 peniaga menawarkan Menu Rahmah di enam BBR di seluruh Pahang.
Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan kad diskaun kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah bagi membolehkan mereka membeli barang masakan pada harga diskaun dalam memastikan makanan dijual pada harga di bawah RM5.
”Kejayaan BRR boleh dilihat melalui peningkatan bilangan bazar itu sejak tahun 2023 sehingga kini selain semakin banyak gerai yang menawarkan Menu Rahmah kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGaztte