JOHOR BAHRU – Seorang pemandu rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 11.3 Lebuhraya Senai Desaru menghala Senai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi tadi itu, mangsa didapati terperangkap di tempat duduk kereta Proton Iriz tersebut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan II Saifulbahri Mahpop berkata, pihaknya menerima laporan insiden kebakaran kereta pada pukul 3.33 pagi.
“Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan forensik dengan kekuatan seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bantuan bomba tiba di lokasi pada pukul 3.51 pagi dan setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kereta berkenaan terbakar kira-kira 80 peratus.
“Tindakan pantas PKO berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit. Semasa operasi dijalankan mendapati mangsa terperangkap di ruang pemandu kereta itu dan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, jantina dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi ditamatkan pada pukul 5.17 pagi.
Tambahnya, mayat pemandu tersebut berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.- MalaysiaGazette