KUALA LUMPUR – Seorang pemandu treler dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,000 selepas didapati membawa muatan yang tidak diikat dengan kemas, satu kesalahan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azmat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya berjaya mengesan dan menyoal siasat pemandu treler terbabit pada 14 Mac, iaitu semalam.
“Hasil siasatan mendapati pemandu tempatan berusia 23 tahun itu mengakui kecuaiannya dalam mengendalikan kenderaan berat tersebut.
“Susulan itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan saman ke atasnya di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas, LN 18 166/1959 berkaitan muatan berbahaya dan tidak kemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kesalahan sebegini boleh membawa risiko besar kepada pengguna jalan raya.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pemandu yang gagal memastikan muatan diikat dengan selamat boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk denda sehingga RM2,000,” tambahnya.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 36 saat di media sosial di mana sebuah treler membawa muatan secara berbahaya di Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELIT) dari arah utara ke selatan sekitar jam 2.19 pagi. – MalaysiaGazette