Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penasihat agensi pelancongan telah ditahan selepas disyaki mencederakan seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham semasa memandu dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.24 malam tadi daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 2.15 petang akibat perselisihan faham ketika kedua-dua individu berkenaan sedang memandu di kawasan Saujana Impian.

“Akibat kejadian itu, remaja lelaki tersebut mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

“Siasatan juga mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan tindakan saman trafik,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Susulan kejadian itu, Naazron berkata seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan di sekitar Kajang, Selangor, pada pukul 9.50 malam ini bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Insp E.N. Chalart Cinda di talian 017-9825510 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki berlumuran darah di bahagian hidung di dalam sebuah kereta selepas dipercayai dipukul oleh seorang individu.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here