MELAKA – Seorang penyanyi duo lelaki kerugian RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan ceti haram atau along yang menawarkan pinjaman perniagaan berjumlah RM10,000.
Mangsa berusia 38 tahun berkata, kejadian berlaku pada November tahun lalu ketika dia sedang melayari Facebook (FB) dan terlihat iklan menawarkan pinjaman perniagaan.
Menurutnya selepas menekan pautan laman sesawang berkenaan dan mengisi beberapa butiran peribadi, dia menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp daripada seorang individu yang menawarkannya pinjaman berjumlah RM10,000.
“Bagaimanapun, hanya RM5,000 sahaja dimasukkan ke dalam akaun bank saya dengan alasan jumlah itu adalah untuk rekod pembayaran.
“Individu itu kemudian terus memasukkan lagi wang ke dalam akaun saya yang berlainan jumlah sebelum meminta saya menjelaskan bayaran semula setiap hari,” katanya menerusi laporan polis yang dikongsikan kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Penyanyi itu yang pernah menghasilkan dua album single sebelum ini berkata, paling lewat dia dikehendaki menjelaskan bayaran dalam tempoh lima hari atau dikenakan faedah.
“Individu berkenaan juga mengugut mahu membunuh saya dan menganggu perniagaan kedai makan dengan cara menularkan gambar dan kad pengenalan saya jika berhenti daripada meneruskan pinjaman tersebut.
“Keadaan itu membuatkan saya berasa sangat tertekan kerana kerugian dialami sudah berjumlah kira-kira RM400,000 sebelum membuat laporan polis pada 12 Mac lalu,” katanya
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya. – MalaysiaGazette