Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang penyelia kilang berputih mata selepas rugi RM68,000 akibat terjerat dengan taktik along yang menawarkan pinjaman mudah menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu seorang wanita berusia 28 tahun menerima panggilan daripada seorang individu yang mengenalkan diri sebagai ‘Ramon’ pada pukul 9 pagi, 4 Mac lalu.

“Mangsa ditawarkan pinjaman sebanyak RM10,000 dan tanpa menyedari taktik lincah suspek, mangsa bersetuju untuk mengambil pinjaman tersebut. Sebanyak RM8,000 telah dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank tempatan atas nama mangsa.

“Namun dalam tempoh 9 hingga 12 Mac, mangsa telah dipaksa untuk membuat pembayaran balik dan sebanyak 33 transaksi ke dalam 19 akaun bank berbeza dilakukan dengan jumlah keseluruhan RM68,000,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, tanpa belas kasihan mangsa terus mengugut dan mengancam mangsa untuk membayar lebih banyak wang dengan ancaman mereka akan datang ke rumah keluarga wanita tersebut dan melakukan gangguan.

Raub berkata, bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis.

Jelasnya, semakan melalui aplikasi Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komeriak (JSJK) mendapati semua 19 akaun bank tersebut tidak mempunyai rekod penipuan lampau.

Kes tersebut ujarnya, disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1991 yang membawa hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau oenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik along yang semakin berani menggunakan tekanan psikologi serta ugutan untuk memerangkap mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here