KLUANG – Polis berkas 11 lelaki yang terlibat kes pecah rumah, pencerobohan dan mencuri dalam bangunan melalui Op Pintu di daerah ini.
Operasi berkenaan yang dilancarkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, IPD Tangkak dan Balai Polis Simpang Renggam itu dilakukan bermula pukul 1.39 pagi hingga 9 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil semakan mendapati tujuh daripada tangkapan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala enam positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan.
“Hasil daripada sebuan itu polis berjaya merampas tujuh kotak yang tertera tulisan Komputer 1 Malaysia yang setiap satunya mengandungi sebuah note book dan satu kotak berwarna hitam yang tertera tulisan Find Legend QF13 Led Projektor mengandungi sebuah Projektor.
“Selain itu, turut dirampas adalah sebuah peti tunai berwarna biru, sehelai baju berwarna hitam Carhartt, satu beg jenama Polo Louie warna cokelat dan sebuah kereta Perodua Alza berwarna Biru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum selama 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 448 KK dan Seksyen 380 KK masing-masing membawa hukuman penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali dan hukuman penjara sepuluh tahun atau dengan denda, katanya.
“Semua tangkapan telah dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula semalam (14 Mac hingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette