JOHOR BAHRU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 menahan empat warga asing dan merampas 342 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM600,000 dalam serbuan di Taman Daya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 pada pukul 6.30 petang itu berjaya melumpuhkan kegiatan penyimpanan dan penjualan minuman keras seludup.
“Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas 342 karton pelbagai jenama minuman keras yang dipercayai tidak bercukai, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM600,000.
“Polis turut menahan empat warganegara asing termasuk seorang wanita, kesemua mereka berasal dari India, Bangladesh dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Raub berkata, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 20 Mac bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan atau tidak bercukai serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
Raub turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan agar menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323.- MalaysiaGazette