DHAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Bangladesh meninggal dunia selepas menjadi mangsa serangan seksual, mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara itu.
Mangsa dipercayai diserang ketika mengunjungi rumah kakaknya di Magura pada 5 Mac.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, suami kakaknya yang berusia 18 tahun bersama ibu bapa dan saudara lelakinya ditahan bagi membantu siasatan.
Selepas menerima rawatan selama enam hari dalam keadaan kritikal di Hospital Ketenteraan Dhaka, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari semalam waktu tempatan selepas mengalami tiga serangan jantung.
Menurut kenyataan hospital, doktor berjaya menstabilkan keadaan mangsa sebanyak dua kali, namun kegagalan jantung kali ketiga menyebabkan dia tidak dapat diselamatkan.
Berita kematian mangsa menimbulkan kemarahan penduduk setempat yang mana sekumpulan orang awam mula bertindak membakar rumah tempat kejadian dipercayai berlaku.
Ribuan penduduk berhimpun di Magura bagi menghadiri solat jenazah sebelum mangsa dikebumikan.
Di ibu negara Dhaka, ratusan pelajar universiti turut mengadakan perhimpunan bagi menuntut keadilan segera serta pembaharuan undang-undang berkaitan keselamatan wanita dan kanak-kanak.
Menurut penasihat undang-undang yang terlibat dalam kes ini, perbicaraan dijangka bermula dalam tempoh tujuh hari, dengan proses pengumpulan sampel DNA telah selesai dan laporan dijangka diperoleh dalam masa lima hari.
Setakat ini, kenyataan telah diambil daripada 12 hingga 13 saksi.
Bangladesh sebelum ini menggubal undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati bagi kes serangan seksual terhadap kanak-kanak sejak 2020, susulan peningkatan kes keganasan seksual di negara itu.
Tragedi ini bukan kes terpencil kerana daalam tempoh seminggu selepas kejadian di Magura, sekurang-kurangnya tiga lagi kes serangan seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan di beberapa kawasan lain di Bangladesh.
Menurut statistik Pusat Undang-Undang dan Timbang Tara, lebih 3,400 kes serangan seksual terhadap kanak-kanak telah dilaporkan dalam tempoh lapan tahun terakhir, dengan kebanyakan pelaku terdiri daripada individu yang dikenali oleh mangsa. – Agensi