Tian Soon beramah mesra dengan orang ramai semasa melawat meninjau operasi dan kemudahan di HSNI, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT – Kerajaan Johor memperuntuk RM1.2 juta bagi membantu menaik taraf Jabatan Kecemasan di 12 hospital seluruh negeri dalam tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini yang perlu ditambah baik kemudahan sedia ada turut menerima peruntukan RM370,000.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu berkata, daripada jumlah tersebut Jabatan Kecemasan HSNI memperoleh RM150,000.

“Sebanyak RM75,000 diperuntukkan untuk kerja menaik taraf manakala bakinya adalah untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan seperti sistem audio dan dua unit televisyen pintar serta pemasangan pintu automatik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan segera selepas menerima peruntukan agar dapat meningkatkan perkhidmatan jabatan berkenaan demi kesejahteraan penduduk Batu Pahat.

Selain itu, beliau berkata, keadaan di bahagian lobi HSNI sudah tidak sesak seperti sebelum ini selepas kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 bagi menaik tarafnya.

“Saya masih ingat ketika lawatan saya ke hospital ini tahun lalu di mana lobi utama hospital sangat sesak dengan orang ramai dan kerusi yang disediakan juga agak usang.

“Pada masa itu, saya mendapati bahawa stesen pengambilan darah yang terletak berhampiran pintu masuk utama juga sangat sempit dan tidak selesa,” katanya.

Jumlah kaunter juga, katanya, telah ditambah dan sebahagian besar kerusi di kawasan luar juga diganti.

Kini, katanya, keadaan di bahagian berkenaan jauh lebih selesa dan prosesnya lebih cepat memandangkan kakitangan hanya perlu melayani kira-kira 300 pesakit setiap hari.

Namun Klinik Pakar Kedua dan (Pakar2), Klinik Pakar Ketiga serta Jabatan Nefrologi masih sesak.

“Saya dapati bahagian pakar mata dan perubatan dalaman dipenuhi dengan pesakit. Saya mengambil kesempatan ini berbual dengan pesakit yang kerap mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Mereka yang ditemui, katanya, sangat berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan para petugas kesihatan.

Namun begitu masa menunggu yang lama menjadi cabaran utama dan ramai pesakit serta waris terpaksa berdiri sementara menunggu giliran.

“Saya telah berbincang dengan pihak hospital mengenai cara untuk menambah ruang bagi memberikan persekitaran yang lebih selesa kepada pesakit dan waris mereka.

“Antara cadangan yang dibincangkan termasuk menambah bilangan kerusi serta memindahkan dokumen ke tempat lain bagi mewujudkan lebih banyak ruang,” tambahnya.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan hospital serta keperluan sistem kesihatan dan memberi sokongan serta bantuan yang sewajarnya.

“Walaupun urusan kesihatan merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor akan tetap mengambil tanggungjawab serta bersikap proaktif dalam bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani cabaran dan meningkatkan sektor perubatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here