Bahagian perlepasan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang beroperasi pada hari pertama ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Terminal Putra Taman Melati, Gombak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 MAC 2025

GOMBAK – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) bakal menjadi tarikan baharu  masyarakat sekitar Gombak kerana ia bukan sahaja menjadi hab pengangkutan utama ke Pantai Timur.

Apa yang menarik, TBG kini muncul terminal berkonsep pusat beli-belah di mana keseluruhan 103 lot kedai sudah disewa untuk tarikan pengunjung dan bukan hanya penumpang bas sahaja.

Kaunter tiket OKU Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang beroperasi pada hari pertama masih lengang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Terminal Putra Taman Melati, Gombak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 MAC 2025

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati orang ramai juga dilihat sudah mengunjungi TBG dengan lot kedai termasuk premis makanan mula beroperasi walaupun suasana masih lengang.

Ini kerana terminal itu hanya memulakan operasi secara berperingkat hari ini dengan pelaksanaan perkhidmatan menurunkan penumpang sahaja.

Bagi seorang pengunjung, Rosli Mohd. Hassan berkata, pembukaan TBG memudahkan perjalanan anak bongsunya yang menggunakan perkhidmatan bas dan sebelum ini bas dinaikinya akan berhenti di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Rosli Mohd Hassan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 MAC 2025

Kata pesara itu, ini kerana anaknya ketika sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan, Pahang.

“Anak saya sudah membeli tiket dan akan pulang ke kampusnya esok. Jadi saya dan keluarga mengambil peluang datang untuk bertanya sama boleh menaiki bas dari sini atau masih perlu ke TBS.

“Selepas ini saya akan menggalakannya menggunakan terminal ini kerana ia lebih mudah dan dekat dengan rumah kami,” katanya.

Beliau yang menetap di sini turut mengakui TBG akan menjadi tarikan baharu untuk penduduk sekitar untuk datang bersiar-siar.

Katanya, terminal berkonsep pusat beli-belah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna perkhidmatan bas malah penduduk setempat juga apabila menawarkan peluang pekerjaan dan membeli-belah serta makan.

TBG yang terletak di kawasan strategik di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta berdekatan dengan Plaza Tol Gombak dan Stesen LRT Gombak, merupakan hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Terminal juga bakal menjadi hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas, LRT dan projek rel utama seperti East Coast Rail Link (ECRL) pada masa depan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Terminal Bersepadu Gombak kini beroperasi dalam tempoh percubaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here