KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pihak tertentu yang berhasrat menganjurkan perhimpunan dalam usaha mengganggu hasrat kerajaan membantu golongan miskin bandar.
Perdana Menteri berkata, mereka tidak sewajarnya mencabar kerajaan melalui demonstrasi jalanan hanya semata-mata untuk membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA).
“Jangan ganggu rancangan kerajaan untuk bantu masyarakat Melayu bandar dengan buat perhimpunan kerana kami juga boleh gerakkan yang lebih besar untuk mempertahankan cadangan tersebut.
“Kalau kamu nak buat perhimpunan, kita pun boleh buat (perhimpunan) di stadium untuk pertahankannya,” ujar beliau.
Perdana Menteri memberi reaksi demikian terhadap pihak yang menentang URA dengan mendakwa Melayu bandar akan terusir keluar.
Kerajaan dilaporkan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut di Parlimen pada Jun atau Julai ini.
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Peluncuran Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) Madani sempena sambutan Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, penggubalan RUU itu bertujuan untuk membela nasib rakyat miskin di ibu negara yang sekian lama terpaksa menetap di flat usang dan daif dengan kapasiti satu bilik dan satu bilik air.
“Kita mahu penduduk miskin bandar tidak lagi hidup begini, setelah 50 tahun, 60 tahun. Undang-undang ini akan digunakan untuk membangunkan semula bandar,” ujar beliau.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, URA tidak akan meminggirkan Orang Melayu seperti yang didakwa ahli politik tertentu.
Ujar Perdana Menteri, beliau mengalu-alukan pandangan dan cadangan terhadap usul URA namun ramai yang menempelak kerajaan dengan menyatakan cadangan itu `menyesatkan’.
“Mereka yang menentang adalah orang Melayu, atas nama parti Melayu, parti Islam. Apa yang mereka cadang untuk tolong Orang Melayu? Tiada.
“Apa yang mereka cadang untuk bela nasib Melayu miskin bandar? Tiada. Sebaliknya kita masih terbelit dengan ibu-isu lama untuk menanam kebencian,” ujar Perdana Menteri.
Menurut Anwar, kerajaan sebaliknya tampil dengan pelbagai cadangan supaya Melayu miskin bandar tidak terus dipinggirkan.
Kata Perdana Menteri, buat pertama kalinya kerajaan mengisytiharkan kawasan yang paling berharga di ibu negara iaitu di Sungai Besi sebagai rizab Melayu. – MalaysiaGazette