KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) Madani yang dilancarkan hari ini bukan sebagai dalih untuk mengurangkan dana kerajaan.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu sebaliknya bertujuan memartabatkan agenda pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera.
Ujar beliau, setiap sen yang disumbangkan dikendalikan dengan penuh rasa tanggungjawab tidak kira jumlahnya besar atau kecil.
“Dasar kita adalah dasar keluarga, dasar tidak meminggirkan atau membiarkan mana-mana pihak menyalahgunakan peluang,'” ujar beliau.
Perdana Menteri berucap merasmikan Majlis Peluncuran Wakaf MARA Madani sempena sambutan Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menyeru seramai 2.8 juta ‘produk’ MARA merebut fadhilat bulan Ramadan dengan menyumbang dalam Wakaf MARA Madani untuk pembangunan ummah.
“Ini bukan dalih untuk kurangkan dana kerajaan. Saya mahu penglibatan menyeluruh bagi memastikan penglibatan 2.8 juta orang itu menyumbang dalam wakaf.
“Saya dan Datuk Seri Zahid pun setuju untuk menyumbang RM1,000 seorang. Sumbang RM10, setuju?
“Belum ada dalam dewan sebegini, orang menyumbang guna kod QR,” ujar beliau dengan nada berseloroh.
Majlis ini bertujuan memperkenalkan Wakaf MARA Madani serta memberikan penerangan terperinci mengenai bagaimana wakaf ini akan berfungsi, siapa yang akan mendapat manfaat dan bagaimana orang ramai boleh menyumbang.
Sumbangan dalam Wakaf MARA Madani turut mendapatkan insentif pemotongan cukai dengan menyertakan slip.
Selain itu, majlis ini juga menyediakan peluang buat MARA menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk institusi kewangan, syarikat korporat dan organisasi bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette