KUALA LUMPUR – Bahagian Perumahan dan Penempatan Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Majlis Pelajar Luar Kampus baru-baru ini menyantuni seramai 100 pelajar luar kampus menerusi Program Tautan Kasih Ramadan Luar Kampus baru-baru ini.
Menurut Ketua Unit Pembangunan Mahasiswa Luar Kampus UPM, Maisarah Maliki, menerusi program itu, pelajar-pelajar berkenaan menerima bantuan berupa makanan untuk berbuka puasa.
Katanya, program itu bertujuan mengurangkan beban pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman sempena bulan Ramadan dan cuti semester, sambil mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka.

“Impak utama yang diharapkan daripada inisiatif ini adalah tercapainya keharmonian dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara pelajar, tetapi juga memberi peluang untuk mereka merasa dihargai dan disayangi dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Maisarah, program itu juga merupakan kesinambungan daripada Ziarah Luar Kampus: Edisi Ramadan 2025 yang memberi fokus kepada kebajikan pelajar, terutama mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan tetapi tidak berpeluang untuk mengaksesnya secara langsung.
Ujarnya, program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga menggalakkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan seluruh komuniti kampus. – MalaysiaGazette