Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sepatutnya `koyak’ atau melatah dengan sindiran bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah pembangkang paling gagal dalam sejarah negara kerana dakwaan itu adalah benar dan berasas.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan (AMH), Ammar Atan mendakwa, sebagai pembangkang, PN sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan, tetapi apa yang dapat dilihat ketika ini hanyalah politik kebencian, sentimen kaum dan agama, serta tuduhan melulu tanpa asas.

Malah, dakwa beliau, pemimpin PN juga lebih sibuk menabur persepsi daripada memberikan cadangan yang boleh membantu rakyat.

“Lebih memalukan, dua pemimpin utama PN iatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang gagal menunjukkan keberanian untuk berdepan Perdana Menteri dalam sesi Prime Minister’s Question Time (PMQT) atau mana-mana sesi perbahasan secara langsung di Parlimen.

“Jika mereka benar-benar yakin dengan hujah mereka, mengapa tidak hadir dan berdebat secara terbuka?” katanya dalam kenyataan semalam.

Ammar mengulas mengenai kenyataan Ketua Armada, Muhammad Hilman Idham semalam yang meminta Ketua AMH, Woo Kah Leong mencerminkan diri sebelum melabel PN pembangkang terburuk kerana membangkitkan isu peruntukan ahli Parlimen.

Malah, Muhammad Hilman turut menyifatkan Kah Leong `meludah ke langit’ dan menggesa AMH menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan kepada PN.

Sementara itu, Ammar turut mengingatkan Muhammad Hilman berkenaan situasi ekonomi negara ketika PN berkuasa yang mana pengangguran meningkat, pelaburan menjunam dan dasar kerajaan berubah-ubah mengikut siapa yang memegang kuasa.

Sebaliknya, kata beliau, Kerajaan Madani hari ini sedang memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan PN, termasuk menarik pelaburan besar dan menstabilkan nilai ringgit.

“Inisiatif ‘SG4’ yang digembar-gemburkan kononnya bakal mengubah landskap ekonomi negeri-negeri di bawah PN juga adalah satu lagi bukti kegagalan PN apabila hilang tanpa jejak.

“Setakat ini, tiada perkembangan yang boleh dibanggakan. Ia sekadar propaganda untuk menutup kelemahan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Ammar, sekiranya Armada dan PN mahu dihormati sebagai pembangkang, mereka perlu lebih matang dan mula bekerja untuk rakyat, bukan sekadar bermain persepsi murahan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here