KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa supaya mekanisme kawal selia dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor korporat diperketatkan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Sapura Energy Berhad (SEB).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia termasuk memperkukuh sistem pemantauan dan pengauditan dalaman serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar antirasuah.

Tegas beliau, adalah penting bagi memastikan individu yang diberi amanah untuk mengurus syarikat-syarikat besar tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.
Ujarnya, aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dalam GLC serta entiti korporat utama adalah aspek yang tidak boleh dikompromi.
“Berdasarkan kefahaman awam, SEB mempunyai struktur tadbir urus yang merangkumi Lembaga Pengarah, Pengarah Bebas, Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Imbuhan.
“Kesemua individu dalam jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam kelulusan pembayaran dan keputusan kewangan syarikat.
“Oleh itu, prinsip tanggungjawab kolektif perlu ditegakkan dan tiada seorang pun ahli lembaga boleh melepaskan diri dengan alasan tidak mengetahui keputusan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media yang mana SPRM membuka dua kertas siasatan selepas menerima maklumat berhubung pembayaran rasuah dan penyelewengan melibatkan SEB iaitu syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas.
Menurut sumber, siasatan itu adalah berdasarkan siasatan awal yang dibuka SPRM pada penghujung 2023 yang juga melibatkan tuntutan-tuntutan yang dibuat syarikat berkenaan.
Sementara itu, Jais melahirkan keyakinan SPRM akan menjalankan siasatan yang menyeluruh dan bebas tanpa sebarang campur tangan bagi memastikan mereka yang terlibat dalam dakwaan rasuah melibatkan SEB tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Ujar beliau, sekiranya terdapat bukti salah laku, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ketelusan korporat di negara ini.
“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta masyarakat bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam sektor korporat sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette