Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berucap pada Kongres Parti Tindakan Demokratik ke-18 di IDCC Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MAC 2025

SHAH ALAM – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan walaupun parti itu menyatakan kesetiaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tidak akan menjadi parti ‘yes man’ atau “pak turut’

“DAP adalah rakan setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibuktikan sejak Lim Kit Siang menjadi Setiausaha Agung (DAP) hingga sekarang oleh Anthony Loke…tidak berbelah bahagi.

“DAP rasa bangga kita boleh bantu Anwar menjadi Perdana Menteri dan kita akan terus memberi sokongan sedemikian. Bagaimanapun, biar saya tekankan, DAPbukan parti ‘yes man’, kami cuma ‘yes man’ kepada pengundi dan rakyat Malaysia,” katanya di hadapan 4,203 perwakilan dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 hari ini.

Para perwakilan ini akan menentukan kepemimpinan baharu parti pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi sesi 2025 – 2028.

Guan Eng yang memuji reformasi institusi dan politik yang dilaksanakan oleh Anwar dan Kerajaan Perpaduan tahun ini mahu kerajaan menyegerakan pula reformasi institusi dan ekonomi untuk membalas budi pengundi-pengundi yang mempercayai PH.

Dalam ucapan sama, beliau menggesa kerajaan memberikan bantuan kepada perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan dengan dasar tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurutnya, dasar tersebut menjejaskan ekonomi negara terutama peniaga atau pengusaha yang terlibat dalam sektor PMKS.

“Dasar tarif Donald Trump akan memberikan kesan negatif malah mencederakan ekonomi Malaysia dan perniagaan khususnya PMKS.

“Kita harap, bantuan tambahan kewangan dapat diberikan kepada perniagaan yang terjejas oleh kerana dasar tarif Trump dan juga kalau boleh menangguhkan atau memperlahankan dasar-dasar kewangan yang akan menambah beban kewangan kepada perniagaan,” ujarnya.

Untuk kongres kali ini, sejumlah 65 calon akan merebut jawatan dalam jawatankuasa itu daripada 70 calon awal selepas lima calon, Phee Syn Tze, Datuk Soon Lip Chee, Kalidas Komarawelo, Kaliyappan Renganathan dan Nicole Tan Lee Koon menarik diri daripada pencalonan mereka semalam.

Pemilihan CEC DAP akan berlangsung jam 10 pagi ini dengan calon bakal berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here