SHAH ALAM – Ketiadaan wakil UMNO dalam Kongres DAP ke 18 hari ini menarik perhatian media yang hadir membuat liputan.
Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, parti tersebut hanya menjemput parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan bukan memboikot UMNO atau sebaliknya.
“Kita lebih kepada perhimpunan dalam PH. Adakala kita jemput (parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan). Kongres kali ini kita tak jemput (UMNO dan gabungan lain). (Konvensyen) BN pun hanya jemput parti komponen mereka.
“Bukannya kita ada apa-apa masalah (antara DAP dan BN) cuma kadang-kala kita hanya membabitkan komponen kita sendiri dan (amalan) ini biasalah.
“GPS (Gabungan Parti Sarawak) pun adakan himpunan mereka sendiri, BN pun adakan himpunan mereka sendiri,” katanya dalam sidang media selepas Kongres DAP ke 18 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette