KUALA LUMPUR – Holiday Villa Hotels & Resorts (Holiday Villa) memperkukuhkan perniagaannya di peringkat antarabangsa dengan menjalin kerjasama strategik bersama GreenTree Inns Hotel Management Group (GreenTree), sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham New York.
Pengerusi Holiday Villa, Tan Sri Azman Shah Haron berkata, menerusi kerjasama itu, syarikat tersebut mensasarkan untuk mengembangkan jenama Holiday Villa merentasi ASEAN, China dan Asia Barat, sekali gus menawarkan hospitaliti Malaysia kepada masyarakat global.
Jelas beliau, kerjasama itu juga akan memberi nilai tambah kepada jenama Holiday Villa yang kini mengendalikan sebanyak 26 buah hotel di Malaysia; Indonesia; Qatar, Arab Saudi dan China.
Lebih menarik, ujar beliau, kerjasama itu juga membolehkan Holiday Villa menjenamakan semula sebuah hartanah di tengah-tengah pusat bandar di sini, yang dijangka mula beroperasi suku ketiga tahun ini, selain membuka hotel baharu di Kuala Terengganu hujung tahun ini.
Di peringkat antarabangsa pula, tambahnya, kerjasama itu turut membuka laluan kepada Holiday Villa menembusi sektor perhotelan di China dengan membuka tiga buah hotel masing-masing di Shandong; Guizhou dan Hunan.
“Selain itu, kerjasama ini juga membolehkan GreeTree buat pertama kali menembusi sektor perhotelan negara apabila akan membuka hotel sendiri iaitu GreeTree Hotel Johor Bahru yang dijangka siap tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Holiday Villa, Puan Seri Masri Khaw Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Holiday Villa, Nina Karina Azman Shah dan Pengerusi GreenTree, Alex Xu.
Sementara itu, Alex berkata, pihaknya berbangga kerana dapat menjalin kerjasama dengan Holiday Villa sekali gus menyokong sasaran syarikat tersebut dalam menembusi pasaran Asia Tenggara dengan lebih meluas.
Katanya, kedudukan kukuh Holiday Villa bukan sahaja di pasaran Malaysia, malah turut dikenali di luar negara menjadikan jenama hotel itu pilihan tepat kepada GreenTree untuk melangkah lebih jauh dan mencipta lebih banyak peluang dalam sektor perhotelan.
“Saya berkeyakinan kerjasama ini akan membolehkan kami menstruktur semula strategi pertumbuhan kami, meningkatkan kedua-dua jenama dan mendorong kami ke arah masa depan yang berjaya serta mampan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette