Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya tidak memperlakukan pegawai perubatan seperti `bola’ susulan kontroversi sistem pemilihan penempatan (E-placement).

Menurut beliau, pegawai perubatan atau doktor-doktor muda itu tidak sepatutnya ditolak ke sana dan ke sini tanpa keputusan yang jelas berhubung permohonan E-placement mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad segera campur tangan dan mencari penyelesaian tuntas berhubung masalah terbabit.

“Kepada Menteri, tolong campur tangan dalam perkara ini. Tengok balik…mereka ini sudahlah penat bekerja, sudahlah jadual kerja di hospital kena atur, dengan keadaan KKM layan mereka begini…sudah macam bola, tak tahu ke mana nak pergi.

“(Sedangkan) bulan lima (Mei) ini mereka nak lapor diri, tapi masih tak tahu lagi nak pergi ke mana.

“Saya minta jangan layan adik-adik doktor kita ini macam bola ditendang ke sana, sini. Mohon Menteri ambil tindakan yang tuntas bantu adik-adik kita ini dapatkan penempatan segera,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, sekiranya sistem E-placement masih bermasalah seperti yang didakwa berlaku sebelum ini, KKM boleh menguruskan pemilihan penempatan para pegawai perubatan tersebut secara manual.

Ujar beliau, perkara itu bukan masalah besar memandangkan jumlah pegawai perubatan yang memohon untuk E-placement tidak ramai iaitu hanya sekitar 2,245 orang.

“Atau kalau susah sangat, kekalkan sahaja dengan keputusan E-placement yang sudah dibuat pada 27 Februari lalu,” katanya.

Awal hari ini, beberapa pegawai perubatan meluahkan rasa kecewa apabila permohonan pemilihan penempatan mereka menerusi sistem E-placement yang sepatutnya dibuka esok ditangguhkan sekali lagi.

Lebih mengecewakan, penangguhan itu yang baru dimaklumkan kepada mereka menerusi e-mel malam tadi, dibawa ke minggu terakhir Aidilfitri iaitu pada 25 hingga 27 Mac ini.

Ia merupakan penangguhan kedua selepas keputusan E-placement yang dibuat pegawai perubatan pada 27 Februari lepas dibatalkan KKM susulan gangguan teknikal pada sistem tersebut.

KKM dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, sistem E-placement yang dibuka pada 3 petang 27 Februari itu mengalami gangguan teknikal selama satu jam 30 minit menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan pegawai perubatan, sekali gus menjejaskan agihan yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here