SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak akan sesekali mencampuri urusan badan kehakiman negara ini.
Perdana Menteri berkata, ia kerana kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan individu-individu yang dilantik adalah bebas dan berwibawa, malah bebas membuat keputusan berlandaskan kepada undang-undang.
“Saya nak tanya, kes mana yang kita campur? Keputusan mana yang saya cakap dan terbincang dengan hakim?
“Tidak ada kegagalan dalam keputusan badan kehakiman. Tidak ada. Tidak pernah saya berbincang dengan ketua hakim atau sesiapa lagi,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres DAP kali ke 18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.
Anwar memberi respons demikian susulan resolusi Majlis Peguam yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif, legislatif atau mana-mana individu atau entiti bertujuan mengatasi kerangka Perlembagaan dan perundangan dalam pelantikan kehakiman, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Resolusi itu juga menggesa kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menjalankan penyiasatan menyeluruh dan telus terhadap ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan (OLY) pada Januari lalu.
Bagaimanapun, Anwar berkata, perlu ada pengawasan terhadap institusi legislatif yang memerlukan kepada semak dan imbang.
“Apakah ada kecenderungan untuk rasuah kerana perkara ini pernah berlaku?. Berlaku secara meluas dalam badan kehakiman.
“Jadi kalau tanya saya, setiap perubahan itu harus dilakukan dengan cukup berhati-hati. Yang penting kita mulakan.
“Apa yang kita mulakan? Jangan campur urusan badan kehakiman dalam membuat keputusan. Tetapi, kita nak pastikan yang dilantik itu cukup lebih bawah cukup bebas” katanya lagi. – MalaysiaGazette