Foto AFP

SANAA – Lebih 20 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Houthi di Yaman awal hari ini menurut kumpulan itu, seperti dilaporkan media antarabangsa.

Orang awam dan kanak-kanak antara yang menjadi mangsa dengan kebanyakan mereka parah dalam serangan di kubu kuat kumpulan Houthi di wilayah Saada, utara Yaman.

Ia merupakan serangan pertama AS di bawah pentadbiran Presiden baharu Donald Trump, yang turut memberi amaran supaya Iran menghentikan sokongan kepada kumpulan Houthi.

Serangan AS itu juga adalah sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Houthi ke atas kapal-kapal dagang di Laut Merah.

Sementara itu, Trump dalam hantaran di media sosial berikrar untuk menggunakan `kekuatan maut yang luar biasa sehingga objektif kami tercapai’, merujuk kepada ancaman Houthi terhadap kapal dagang di Laut Merah.

Dalam pada itu, Biro Politik Houthi menegaskan, mereka tidak akan membiarkan serangan AS berkenaan tanpa tindak balas dan kumpulan bersenjata tersebut bersedia menyerang semula.

Kumpulan Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman selama lebih sedekad sering dirujuk sebagai kumpulan pemberontak apabila tegas menentang AS dan Israel selain pro-Iran.

Kumpulan itu didakwa melancarkan berpuluh-puluh serangan dron dan peluru berpandu terhadap kapal yang melalui perairan Laut Merah dan Teluk Aden sepanjang perang di Gaza, dengan mendakwa ia sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Serangan itu telah melumpuhkan laluan perdagangan laut utama yang mengendalikan kira-kira 12 peratus daripada lalu lintas perkapalan dunia, sekali gus memaksa banyak syarikat mengambil laluan jauh dan lebih mahal dengan mengelilingi Afrika Selatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here