KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana sebanyak RM652,470 bertujuan bagi membantu dan menyantuni seramai 12,380 anak-anak yatim di negeri Selangor.
Setiausaha MAIS, Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar berkata, bantuan yang disalurkan oleh MAIS adalah melalui peruntukan sumbangan Baitulmal MAIS dan Tabung Amanah MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Kedua-dua agensi ini merupakan anak syarikat MAIS selaku penyelaras kepada anak-anak yatim dan rumah pertubuhan anak yatim di Negeri Selangor.
MAIS berkata, seramai 12,380 anak-anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE bagi tahun 2025 menerima sumbangan hari raya berjumlah RM150 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan membabitkan peruntukan RM1,857,000.00.
“MAIS berharap agar sumbangan yang diberikan dapat membantu kebajikan anak-anak yatim seperti bantuan hari raya dan sebahagiannya juga dimanfaatkan untuk pengurusan rumah- rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE,” katanya dalam kenyataan di sini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris menyaksikan sumbangan dana yang disempurnakan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin kepada Tan Sri Mazlan Mansur, Pengerusi YIDE dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Anak Yatim bagi daerah Kuala Selangor di Masjid Taman Alam Jaya.
Tambahnya, penyampaian sumbangan hari raya YIDE bermula di daerah Petaling dan berakhir di Gombak pada 22 Mac 2025.