KUALA LUMPUR – Para pegawai perubatan sekali lagi meluahkan rasa kecewa selepas sistem pemilihan penempatan (E-placement) mereka yang sepatutnya dibuka semula esok, ditangguhkan sekali lagi.
Lebih mengecewakan, kata mereka, penangguhan itu yang dimaklumkan menerusi e-mel yang diterima semalam, ditukar ke minggu terakhir sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook Tya Roslan, dia yang dipercayai antara pegawai perubatan terlibat meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan etika serta profesionalisme Kementeria Kesihatan (KKM) ekoran penangguhan sekali lagi E-placement tersebut.
Ujarnya, para pegawai perubatan berasa seolah-olah dipermainkan apatah lagi e-mel berkenaan penangguhan itu dihantar pukul 11.45 malam pada hari Sabtu iaitu ketika cuti hujung minggu.
“Adakah anda tidak mahu kami menghubungi anda, oleh itu anda perlu menghantar email di tengah malam buta pada hujung minggu?
“Dan penangguhan sekali lagi? Apakah ini semua? Berapa kali nak tangguh ni? Apa agenda di sebalik semua ini?” luahnya menerusi catatan tersebut.
Berkongsi lanjut, Tya Roslan berkata, ramai pegawai perubatan berkorban untuk mengisi E-placement ketika pertama kali dibuka pada 27 Februari lalu.
Ujarnya, memandangkan sistem penempatan menerusi E-placement itu berdasarkan `siapa cepat dia dapat’, terdapat pegawai perubatan yang terpaksa mengambil cuti, menukar `oncall’, malah ada yang bertugas di pedalaman terpaksa keluar jauh dari kawasan mereka untuk mendapatkan akses internet lebih laju.
Malangnya, ujar beliau, mereka berasa kecewa selepas permohonan E-placement pada 27 Februari itu dibatalkan yang hanya diketahui mereka menerusi laporan media tanpa penjelasan lanjut daripada KKM.
“Awalnya kami melawan, tetapi akhirnya kami redha dgn ketentuan untuk isi kembali eplacement pada tarikh baru iaitu 17 MARCH 2025. Ramai dah ambil cuti, tukar oncall (sekali lagi) ada yg dh book bilik di area bandar untuk mengisi eplacement,” katanya.
Tambah Tya Roslan, selepas menempuh pelbagai cabaran untuk bergelar pegawai perubatan, mereka sepatutnya menjadi aset negara.
Meskipun tidak meminta dilayan seperti anak raja, katanya, pegawai perubatan tidak wajar dilayan seolah-olah mereka tidak mempunyai harga diri dan maruah yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh pihak berwajib.
Dalam pada itu, dia turut mengingatkan sekiranya perkara sebegitu berterusan dalam KKM, ia boleh memberi impak dengan ramai pegawai perubatan meletak jawatan dan mula mencari tawaran kerja lebih baik di tempat lain.
Akibatnya, KKM akan tetap kekurangan doktor, waktu menunggu di klinik menjadi lebih panjang, dan tak mustahil saya katakan jika sistem perubatan negara kita akan collapse di suatu masa nanti jika perkara berterusan.
“Tolonglah jika ingin membuat apa apa keputusan, tolong libatkan kami sekali, pemain utama di dalam keputusan anda.
“Kami mungkin tidak semarah ini jika diajak berbincang terlebih dahulu, ini semua berita keluar tiba tiba. Kami ialah orang terakhir yang tahu setiap berita. Ini tidak seharusnya berlaku dan saya berasa amat amat kecewa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KKM membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lalu susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement.
Bagaimanapun, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin, 17 Mac bermula 3 petang menerusi sistem sama. – MalaysiaGazette