Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengagihkan bubur lambuk resipi istimewa baginda kepada pengunjung di Padang MPK 1, Kuantan hari ini

KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengagihkan kira-kira 2,500 pek bubur lambuk kepada rakyat yang berkunjung di Padang MPK 1, di sini, hari ini.

Baginda berangkat tiba pada pukul 2.20 petang dan berkenan memasak tiga periuk besar bubur lambuk bersama kira-kira 70 orang wanita daripada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Pahang dan Pertubuhan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang.

Sejurus selesai memasak pada pukul 4.30 petang, baginda menyantuni dan mengagihkan bubur lambuk itu kepada para pengunjung untuk berbuka puasa.

Tinjauan MalaysiaGazette orang ramai mula berbaris di hadapan khemah untuk bertemu dan mendapatkan bubur lambuk air tangan baginda.

Salah seorang pengunjung, Nur Izzaty Tudin Shobaruddin, 32 memberitahu, dia teruja dan rasa bertuah kerana dapat peluang merasai air tangan baginda buat pertama kali.

Nur Izzaty Tudin Shobaruddin

“Langkah kanan betul datang sini hari ini. Saya nampak orang ramai beratur, rupanya Tengku Ampuan agih bubur lambuk. Bubur lambuk pernah makan tapi kali pertama makan air tangan Tuanku.

“Rasa macam jumpa idola,” katanya yang datang dari Triang, Bera untuk merasai pengalaman berbuka puasa bersama dua rakannya.

Hassan @Usman Din

Warga emas, Hassan @Usman Din, 79 pula menahan sebak tatkala menerima bubur lambuk diagihkan oleh Tengku Azizah.

Dia yang menaiki bas dari rumahnya di Kampung Pak Mahat, di sini, juga pertama kali merasai bubur lambuk air tangan baginda.

“Pakcik rasa terharu sangat sebab seorang isteri kepada Sultan sendiri menyediakan makan minum untuk rakyat,” sambilnya sambil menahan sebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here