Oleh: Mohamad Danial Mohmad Feisol
RAMADAN adalah bulan yang penuh keberkatan dan keampunan. Umat Islam diberikan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan-amalan ibadat seperti puasa, zikir, tilawah al-Quran, solat-solat sunat dan sebagainya. Ramadan juga adalah madrasah tarbiyyah dan juga madrasah ilahiyyah (ketuhanan) yang melahirkan insan rabbani, berjiwa sejahtera dan berhati nurani. Ia bukan sekadar rutin tahunan semata-mata yang tercatat dalam kalendar hijri semata-mata, tetapi ia adalah satu medan untuk menyucikan jiwa, menundukkan hawa nafsu dan mendidik jiwa serta mencapai kedekatan hubungan yang hakiki di antara Pencipta dan makhlukNya.
Insan rabbani adalah mereka yang hidup dengan penuh kesedaran akan kehadiran Allah SWT di dalam hati dan menjadikan kehidupan mereka sesuai dengan mengikut perintah dan laranganNya. Sepertimana dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, maknanya: “Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Para ulama menekankan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan Allah SWT. Oleh itu, umat Islam sepatutnya mencontohi semangat dan kesungguhan mereka untuk melayakkan diri ke arah insan yang bertakwa dan rabbani.
Maka antara cara untuk membentuk insan rabbani adalah dengan penyucian jiwa. Bulan ini dapat memberi impak yang positif dalam mendidik seseorang insan dengan mengosongkan hati dari sifat tercela (mazmumah) dan menghiasi diri dengan sifat sifat terpuji (mahmudah). Ia sesuai dengan sabda Nabi SAW, maknanya: "Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan buruk, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya”. (HR al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan bulan Ramadan bukan sekadar berpuasa menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi menahan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan mudah terjerumus kepada perkara yang tidak baik.
Selain itu, bulan Ramadan melatih sifat zuhud dan tawakkal. Sebagai insan rabbani, mereka hanya meletakkan Allah dalam pergantungan mereka dan menyerahkan segala urusan kepadaNya. Mereka mengosongkan hati dan tidak diperhambakan oleh dunia kerana dunia adalah penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang bukan Islam. Bahkan mereka menjadikan dunia ini hanya sebagai tempat bercucuk tanam amalan kebaikan agar dapat memungut hasil di akhirat kelak.
Sifat- sifat ini ialah salah satu elemen yang penting dalam pembentukan watak rabbani kerana orang rabbani ialah berjiwa murni, mereka mengosongkan hati selain daripada Allah. Mereka tidak ada rasa khuatir akan keadaan mereka kerana telah memahami bahawa segala perkara dan ujian yang dilalui, semuanya telah diatur oleh Allah SWT dan Dialah sebaik-baik pengatur. Mereka juga menganggap bahawa segala aturan Allah SWT buat mereka adalah yang terbaik dan penuh dengan hikmahNya.
Di samping itu, Ramadan juga membentuk dan memupukkan rasa kasih sayang, kelembutan hati dan kesabaran. Insan rabbani sejati mestilah menjadi sumber rahmat dan contoh tauladan yang baik bagi manusia yang lain dan inilah dipanggil dengan akhlak rabbani. Hal ini kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 21, maknanya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah”.
Dalam zaman yang getir ini, banyak berlaku permusuhan antara satu sama lain sehingga menyebabkan saling membenci dan yang paling dahsyat lagi ialah berlakunya pergaduhan, pembunuhan dan peperangan di berbagai tempat. Ini adalah peranan utama dalam membentuk insan rabbani dengan mengikuti contoh baginda Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan supaya lahir insan yang menjadi cerminan kepada masyarakat dalam menanamkan rasa kasih dan cinta antara satu sama lain dan jauh daripada permusuhan yang mana tiada noktahnya.
Tambahan pula, komponen yang paling penting ialah istiqamah iaitu konsisten dalam setiap perkara kebaikan. Bulan Ramadan menjadi landasan untuk melatih untuk melakukan amal ibadat dan amal saleh secara berterusan seperti solat berjemaah, qiyamullail, dan sebagainya.
Hal ini kerana amalan yang disebutkan di atas ialah amalan kebiasaan bagi insan yang bergelar rabbani, mereka bermunajat dan menyebut nama Allah secara berterusan selari dengan firmannya Allah SWT dalam surah al-Ahqaf ayat 13, maknanya: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata:”Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka istiqamah, maka tidak akan ada ketakutan pada mereka dan mereka tidak bersedih hati”. Maka benarlah kata-kata hikmah yang menyebutkan tentang istiqamah "istiqamah itu lebih daripada seribu karamah (kelebihan dan kemuliaan).
Jelasnya, Ramadan melahirkan individu yang berjiwa rabbani lagi bertakwa yang sentiasa mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Insan rabbani yang lahir dari madrasah Ramadan bukan sahaja menjaga hubungannya dengan Sang Pencipta, bahkan mereka juga menjaga hubungan dengan makhlukNya yang lain. Hati mereka benar-benar hidup dalam suluhan cahaya petunjuk Ilahi dan mereka terus-menerus memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadat dan saleh dalam meneruskan perjalanan mereka menuju kepada tingkatan taqwa sebagai hasil keluaran daripada tarbiyah madrasah Ramadan.
Penulis merupakan mahasiswa, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir