KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 128.3, Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara), di Yong Peng, Batu Pahat, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.30 pagi melibatkan – sebuah kereta dan kenderaan sport utility (SUV).
Kejadian berlaku semasa SUV dan kereta berkenaan sama-sama dari arah selatan menghala ke utara dengan kereta tersebut berada di hadapan SUV.
Ketika tiba di lokasi kejadian kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh penghadang besi jalan dan berpusing melintang di tengah jalan da kemudian dilanggar SUV yang tidak sempat mengelak.
“Kemalangan ini menyebabkan pemandu kereta, Mohamad Shahrul Nizam Mohd Ali, 24, dan siterinya Norsuhada Kartika Razak, 23, dari Taman Kota Jaya, Kota Tinggi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Pemandu SUV yang berusia 50 tahun pula cedera di bahagian dada dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan membahayakan. – MalaysiaGazette