KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menarik balik serta-merta tauliah dan mengharam daripada mengajar agama di negeri itu sekiranya individu memukul seorang pelajar itu merupakan seorang agamawan berdaftar.
Exco Hal Ehwal Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau telah mengarahkan JAIS memulakan semakan sekiranya individu tersebut memegang sebarang bentuk tauliah mengajar.
“Sekiranya benar agamawan atau guru ini adalah pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), maka, tauliah ini wajar ditarik balik serta-merta dan individu ini perlu diharamkan daripada mengajar agama di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah dalam satu perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima pelajar lelaki terbabit berusia 17 tahun jam 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
Menurut Naazron, mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Fahmi juge menyeru kepada semua agamawan dan guru yang telah diberikan tauliah mengajar MAIS di Selangor agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam.
“Mereka perlu menjauhi segala tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan pada para agamawan ataupun guru.
“Segala tindakan haruslah berdasarkan akhlak mulia, pertimbangan yang rasional, serta mengikut asas perundangan yang berkuatkuasa,” katanya.
Fahmi juga melahirkan rasa kecewa dan mengecam tindakan ganas itu yang bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam menuntut penyelesaian secara rasional dan berdasarkan asas perundangan.
“Saya mengecam segala bentuk kekerasan, lebih-lebih lagi jika pelakunya membawa imej agamawan atau guru.
“Seorang agamawan ataupun guru harus mengamalkan akhlak yang mulia agar dapat diteladani oleh masyarakat, terutamanya golongan muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette