KUALA LUMPUR – Adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan mereka yang membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mempunyai niat tersembunyi dan cuba menggagalkan rancangan meningkatkan taraf hidup masyarakat Bumiputera.
Sebaliknya, mereka yang menentang itu disebabkan bimbang terhadap kesan penempatan semula yang tidak seimbang dalam kalangan masyarakat Melayu di bandar, kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.
Apatah lagi, ujar beliau, rakyat sejak sekian lama sudah melihat bagaimana golongan elit dan berkuasa begitu tersusun dalam mengaut keuntungan di negara ini, manakala golongan berpendapatan rendah dan kelas pertengahan hanya mendapat sisa-sisa keuntungan.
Beliau memberikan contoh dalam Akta Pengambilan Tanah yang bertujuan membolehkan kerajaan mengambil tanah bagi tujuan pembangunan infrastruktur.
“Namun, definisi `tujuan awam’ (dalam Akta Pengambilan Tanah) semakin longgar, sehingga tanah di Mont Kiara diambil, dan kini terdapat kelab golf di sana.
“(Begitu juga) Banyak tanah Orang Asli telah diambil, dan mereka hanya mendapat pampasan setelah bertahun-tahun berjuang di mahkamah, itu pun tidak mencukupi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak khususnya pembangkang supaya tidak mengganggu komitmen kerajaan membantu golongan miskin di bandar terutama orang Melayu.
Anwar menegaskan, mereka sepatutnya memberi cadangan kepada kerajaan bagaimana untuk membela nasib golongan memerlukan itu, bukan dengan cadangan mengadakan perhimpunan membantah RUU PSB.
Tambah Zaid, sebahagian besar yang curiga terhadap RUU PSB itu juga disebabkan mereka hilang keyakinan negara ketika ini sedang ditadbir atas kepentingan majoriti rakyat.
Tambahnya, rasa curiga itu disebabkan beberapa isu yang sedang berlaku dalam negara ketika ini tetapi tiada tindakan diambil antaranya masalah import beras yang tidak terkawal sehingga menjejaskan kehidupan ramai petani tempatan.
Selain itu, katanya, rakyat juga melihat jutaan pekerja asing memasuki negara ini tanpa kawalan dengan kerajaan seolah-olah tidak berminat untuk menyelesaikan masalah tersebut, malah wartawan yang cuba mendedahkan penipuan dalam isu tersebut telah didakwa.
“Kita juga mungkin satu-satunya negara yang sanggup menyewa helikopter dengan kos RM16 bilion, sedangkan jika dibeli sendiri, kosnya jauh lebih rendah,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Zaid, beliau berpandangan RUU PSB bukan berkenaan melindungi kepentingan Melayu, tetapi lebih kepada persoalan sama ada akta itu akan memperkayakan pemaju, pegawai kerajaan dan ahli politik atas kepentingan orang ramai.
“Jangan membuat tuduhan tidak berasas terhadap mereka yang menentang RUU PSB, sebalikya dengar suara mereka, dan berbincang dengan fikiran terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette