Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden didakwa cuba mengelirukan dengan memberi pandangan yang tidak tepat berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam isu mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa, Afnan Hamimi cuba menyebarkan ketakutan tidak berasas khususnya apabila beliau menulis “Inilah keadaan negara kita sekarang”.

Katanya, beliau meneliti beberapa komen daripada pembangkang termasuk Afnan Hamimi yang cuba mengulas mengenai perkara tersebut.

“Kenyataan Setiausaha Agung DAP (Loke) terlalu jauh dari apa yang dinyatakan oleh Afnan.

“Sama ada Afnan sengaja hendak mencipta propaganda negatif murahan atau beliau benar-benar naif dan bebal?” tulisnya di Facebook.

Semalam, Loke ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18  di Shah Alam berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Loke berkata,  janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Mengulas lanjut Sheikh Umar berkata, apa yang dinyatakan oleh Loke telah dipersetujui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan mengelak pentadbiran seseorang Perdana Menteri pada tempoh terlalu lama atau bertukar menjadi diktator dan kuku besi.

Ia juga bagi mengelak pembolotan akibat pemusatan kuasa yang terlalu panjang.

Tambah beliau, pendekatan itu boleh menutup kemungkinan berlakunya ‘mafsadah’ (kerosakan), salah guna kuasa serta kezaliman akibat terlalu lama di tampuk kuasa.

“Ini bukan perkara baharu. Di beberapa negara luar telahpun melaksanakan pendekatan seumpama ini. Contohnya Indonesia telah mengehadkan tempoh dua penggal pilihan raya, begitu juga Amerika Syarikat.

“Namun, hal ini juga perlu diperkuat dengan pembaharuan lain contohnya pengasingan kuasa kehakiman agar wujud semak imbang yang lebih berkesan. Sebab itu Loke turut nyatakan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan untuk memisahkan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya,” ujarnya.

Katanya lagi, ini adalah antara intipati penting reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar yang didukung oleh DAP serta parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Bagaimanapun Sheikh Umar mendakwa, usaha yang dilakukan gagal difahami oleh pembangkang dan  lebih malang lagi apabila masih tidak mampu keluar dari neraca pemikiran sempit perkauman serta masih gagal memahami sesuatu isu secara holistik. – MalaysiaGazette

DAP mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda, hadkan jawatan PM untuk 10 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast