KUALA LUMPUR – AirAsia Malaysia meluaskan operasi ke Australia dengan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Darwin, sekali gus memperkukuh komitmennya dalam mempertingkatkan kesalinghubungan antarabangsa dari Malaysia.
Bermula 27 Jun 2025, para pengembara bakal mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan dengan tambang berpatutan untuk menerokai wilayah utara Australia dengan empat penerbangan mingguan.
Darwin adalah destinasi AirAsia Malaysia selepas mengembangkan kehadirannya di Perth pada Mac 2024.
AirAsia Malaysia berkata, Darwin merupakan pintu masuk untuk menerokai pemandangan semula jadi menakjubkan, pengembaraan mengujakan dan pengalaman budaya.
Malah, bandar ini menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua – dengan matahari terbenam yang memukau di Pantai Mindil, hidupan liar di Crocosaurus Cove dan keindahan Taman Negara Kakadu, serta tapak Warisan Dunia UNESCO berkembar yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya dan budaya orang asli.
Secara keseluruhannya, AirAsia terbang di empat bandar di Australia dan pembukaan laluan Darwin bermula 22 Mac 2025 dari Bali serta 27 Jun 2025 dari Kuala Lumpur, menjadikannya destinasi kelima di negara ini.
“Laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Darwin ini memperkukuh lagi komitmen AirAsia dalam merancakkan sektor pelancongan antara Malaysia dan Australia.
“Pencapaian ini menandakan langkah penting dalam pengembangan antarabangsa syarikat ini, sekali gus merangsang industri pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara,” kata AirAsia Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Fareh Mazputra berkata, Darwin menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong dan perniagaan untuk menerokai salah satu destinasi paling meriah dan unik di Australia.
Pada masa yang sama, AirAsia Malaysia juga membuka pintu baharu ke Asia dan destinasi lain untuk penduduk wilayah utara Australia.
“Seiring dengan pertumbuhan populariti pelancongan pengembaraan, kami melihat Darwin sebagai destinasi yang mempunyai potensi bagi rakyat Malaysia dan pelancong di seluruh Asia Tenggara untuk mengalami perjalanan unik di luar destinasi pelancongan biasa.
“Dengan perkhidmatan Fly-Thru melalui Kuala Lumpur, Darwin kini lebih mudah diakses untuk pelancong dari pasaran utama dalam rangkaian kami, termasuk Thailand, India, Sri Lanka, Filipina, China, Kemboja, Korea Selatan dan banyak lagi,” katanya.
Sempena pelancaran laluan ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa dengan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Darwin bermula serendah RM299 termasuk semua sehala, manakala penerbangan dari Darwin ke Kuala Lumpur bermula daripada AUD189 termasuk semua sehala.
Semua penerbangan kini tersedia untuk tempahan mulai hari ini hingga 30 Mac 2025 bagi tempoh perjalanan antara 27 Jun dan 25 Oktober 2025. Tempah sekarang di airasia.com atau aplikasi AirAsia MOVE. – MalaysiaGazette