PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) sudah memuktamadkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pengumuman calon akan dibuat Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Calon BN (PRK DUN Ayer Kuning) telah pun dikenal pasti dan pengumuman akan dibuat nanti oleh Presiden dan juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO,” katanya dalam sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Ihya’ Ramadan Bersama Warga KPT di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti telah menyenaraikan enam calon bagi PRK tersebut.
Malah enam nama tersebut telah termasuk calon muda yang disenarai pendek untuk mewakili BN pada PRK tersebut.
BN dilaporkan akan mengumumkan calon mereka pada 5 April depan.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru. – MalaysiaGazette