GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan pengharaman sepenuhnya terhadap produk rokok dan vape adalah langkah paling berkesan bagi mengawal tabiat merokok serta ketagihan berkaitan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kandungan dadah terlarang dalam cecair vape boleh membawa kepada ketagihan serius dan kematian akibat dos berlebihan, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara.
Jelas beliau, kawalan tembakau sebelum ini membuktikan bahawa peraturan separa tidak berkesan dalam mengekang masalah tersebut.
“Contoh pengenalan amaran kesihatan bergambar (PHW) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2009, yang menghadapi tentangan daripada industri tembakau atas alasan kos pengeluaran meningkat.
“Pihak industri meminta lanjutan tarikh pelaksanaan sehingga 24 bulan tetapi akhirnya mematuhi tempoh enam bulan yang ditetapkan KKM,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, pemantauan oleh Clearinghouse for Tobacco Control (C-Tob) Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati industri tembakau bertindak balas dengan agresif sebelum pelaksanaan PHW, termasuk memperkenalkan lebih 60 reka bentuk pembungkusan baharu dan hadiah promosi.
Katanya, peruncit turut diberikan tempat pameran percuma bagi mempromosikan produk baharu, sama seperti yang berlaku dalam penguatkuasaan larangan paparan produk tembakau di bawah Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang akan berkuat kuasa April ini.
“Jadi kita bimbang promosi produk vape yang diletakkan di aras bawah seolah-olah dilihat menyasarkan kanak-kanak, selain penjualannya dalam talian yang semakin meningkat berikutan pengharaman yang akan dikuatkuasakan.
“Situasi ini memudahkan akses kepada produk tersebut meskipun terdapat langkah pengesahan umur minimum. Malah, cecair vape yang dicampur dengan dadah sukar dikesan melainkan terdapat bau kimia yang kuat atau perubahan fizikal yang ketara.
“Vape boleh menjadi ‘pintu masuk’ kepada ketagihan dadah dengan kesan seperti halusinasi, kebimbangan dan paranoia yang sering kali menjadi petunjuk awal,” katanya.
Beliau turut menegaskan, bahan haram seperti tetrahydrocannabinol (THC), fentanyl, methamphetamine, kokain dan heroin boleh dicampur dalam cecair vape, menjadikannya lebih berbahaya.
“Justeru, CAP menggesa kerajaan melaksanakan pengharaman penuh terhadap produk merokok bagi mengelakkan krisis ketagihan dadah yang lebih serius dan sukar dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette