KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenyataaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kerajaan tidak pernah campur tangan dalam badan kehakiman negara umpama tindakan menutup bangkai gajah.
Ini kerana, kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, kenyataan itu bukan sahaja bercanggah dengan realiti semasa, tetapi juga secara terang cuba menyembunyikan fakta yang jelas di mata rakyat.
Tambah beliau, sejak awal pentadbiran kerajaan hari ini, beberapa tindakan telah menimbulkan kebimbangan bahawa badan kehakiman tidak diberikan kebebasan sepenuhnya.
Antaranya, dakwa beliau, proses pelantikan hakim yang dikritik kerana tidak mematuhi prinsip ketelusan dan meritokrasi, termasuk pelantikan individu yang berkait rapat dengan pentadbiran kerajaan.
Selain itu, beberapa kes yang melibatkan ahli politik yang bersekutu dengan kerajaan telah ditangguhkan atau digugurkan dengan alasan teknikal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan dalam proses perundangan.
“Jelas sekali kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman adalah retorik kosong yang tidak selari dengan tindakan sebenar.
“Rakyat berhak mengetahui bahawa kebebasan badan kehakiman tidak boleh hanya sekadar slogan, tetapi mesti dibuktikan dengan tindakan yang benar-benar menghormati doktrin pemisahan kuasa (separation of powers) seperti yang termaktub dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang bentuk campur tangan eksekutif (executive interference) dalam badan kehakiman bukan sahaja melanggar prinsip demokrasi, malah boleh membawa kepada krisis keyakinan terhadap sistem keadilan negara,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Anwar berkata, kerajaan tidak pernah sesekali campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan badan kehakiman.
Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mereka yang dilantik dalam badan itu mempunyai kewibawaan.
Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, bagi memastikan badan kehakiman benar-benar bebas, Pas mendesak kerajaan menghentikan sebarang bentuk campur tangan dan menjamin kebebasan institusi itu sepenuhnya.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bebas bagi memantau pelantikan dan perjalanan sistem kehakiman supaya tidak berada di bawah pengaruh politik.
Dalam masa sama, ujar beliau, kajian semula juga perlu dibuat terhadap keputusan-keputusan kontroversi yang mencetuskan kebimbangan tentang keadilan dan ketelusan dalam sistem perundangan negara.
“Malaysia perlu dipastikan mempunyai badan kehakiman yang benar-benar bebas dan tidak diperalatkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.
“Ini bukan sahaja penting bagi memastikan keadilan ditegakkan (justice is upheld) tetapi juga bagi menjamin kestabilan perlembagaan (constitutional stability) dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya. – MalaysiaGazette
Kerajaan Perpaduan tidak akan campur urusan badan kehakiman – PM