GEORGETOWN – Dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) cedera dalam operasi memadam kebakaran di tiga premis di Jalan Patani di sini, semalam.
Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan seorang anggota PBS patah kaki manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Endi Sherimi Mohd Azmi berkata, kebakaran membabitkan tiga premis iaitu dua kilang cecair pelarut, logam dan sebuah syarikat pengelola perkahwinan.
Jelasnya, operasi melibatkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak serta beberapa PBS.

“Pasukan bomba menghadapi kesukaran awal kerana tekanan air rendah di pili bomba berhampiran. Masalah itu diatasi dengan bantuan lori tangki BBP Jalan Perak dan PBS.
“Api berjaya dikawal dalam masa tempoh 65 minit namun kebakaran mengakibatkan kemusnahan 80 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan, namun dua anggota PBS dari Sungai Puyu dan Kampung Pisang mengalami kecederaan,” katanya hari ini.
Tambah beliau, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
“Kerja-kerja overhaul masih dijalankan sehingga selepas waktu berbuka,” katanya. – MalaysiaGazette