MELAKA – Dua bazar Aidilfitri sepanjang Ramadan di Melaka dinobatkan antara 10 bazar terbaik di Malaysia oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia adalah Glam Bazar Klebang yang menduduki tempat keempat dan Bazar Ikonik Banda Hilir di tangga ke-7 terbaik negara.
“Ini menunjukkan perancangan yang baik akan membawa satu pulangan baik membuatkan orang ramai juga selesa untuk berkunjung ke sini.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan untuk mengembangkan konsep perniagaan dalam bentuk SME (perusahaan kecil dan sederhana) supaya mereka dapat menjadi katalis kepada ekonomi negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan walkabout ke Glam Bazar Klebang di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong.
Pada majlis itu, Ab Rauf turut melakukan cabutan bertuah dan menyampaikan hadiah kepada pemenang bertuah yang berbelanja di bazar berkenaan berupa sebuah kereta dan motosikal.

Sementara itu dalam perkembagan lain, Ab Rauf berkata, Melaka dipilih menjadi tuan rumah Sambutan Hari Raya Madani 2025 pada 5 April ini yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sambutan bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh bermula jam 9 pagi hingga 3 petang dijangka akan dihadiri lebih 50,000 rakyat pelbagai kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette